Sesungguhnya
Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah sembahyang bagi
mengingati Aku! ( Ayat 14 : Surah Taha )
Sembahyang
mengandungi perbuatan anggota zahir, perkataan yang dilafazkan dan penyertaan
hati yang benar menghadap kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga.
Mengingati Allah s.w.t melalui sembahyang merupakan zikir yang paling sempurna.
Perbuatan menjadi zikir, perkataan menjadi zikir dan perasaan menjadi zikir.
Sekalian maujud berada dalam suasana zikir. Zikir dalam sembahyang
menggabungkan pengakuan bahawa yang diingatkan itu adalah Allah s.w.t; bahawa
Allah s.w.t yang diingati itu adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan Dia;
bahawa Allah adalah Tuhan yang disembah; bahawa menyembah Allah s.w.t adalah
dengan perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa sahaja yang dilakukan
adalah kerana mentaati-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.
Zikir
yang di dalam sembahyang menjadi induk kepada zikir-zikir di luar sembahyang. Menyebut nama-nama Allah s.w.t adalah zikir. Perkataan
yang baik-baik diucapkan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Nasihat menasihati
kerana Allah s.w.t adalah zikir. Menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t adalah
zikir. Semua itu merupakan zikir
perkataan.
Zikir
perbuatan pula meliputi segala bentuk amalan
dan kelakukan yang sesuai dengan syarak demi mencari keredaan Allah s.w.t.
Berdiri, rukuk dan sujud dalam sembahyang adalah zikir. Melakukan pekerjaan
yang halal kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi peraturan yang Allah s.w.t
turunkan, adalah zikir. Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah s.w.t adalah
zikir. Apa juga perbuatan yang tidak menyalahi peraturan syariat jika dibuat
kerana Allah s.w.t maka ia menjadi zikir.
Tidak melakukan apa-apa pun boleh menjadi zikir. Orang yang menahan anggotanya,
lidahnya dan hatinya daripada menyertai perbuatan maksiat sebenarnya melakukan
zikir jika dia berbuat demikian kerana Allah s.w.t. Semua itu menjadi zikir
jika dibuat kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi perintah-Nya, kerana mencari
keredaan-Nya dan kerana ingat kepada-Nya. Jadi, perbuatan dan perkataan
terikat dengan amalan hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya dikira
sebagai zikir jika ada zikir hati iaitu hati ingat kepada Allah s.w.t, ikhlas
dalam melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya Tanpa zikir hati tidak
ada zikir-zikir yang lain, kerana setiap amalan digantungkan kepada niat yang
lahir dalam hati.
Zikir
adalah mengingati Allah s.w.t sebaik dan seikhlas mungkin. Mengingati nama-nama
dan sifat-sifat-Nya adalah zikir.
Melihat matahari, bulan dan bintang di langit sambil mengenang kebijaksanaan
Allah s.w.t merupakan zikir. Melihat kilat memancar dan mendengar guruh
berdentum sambil mengenangkan keperkasaan Allah s.w.t adalah zikir. Melihat
fajar subuh, melihat dan mencium bunga yang indah lagi harum sambil mengenang
keelokan Allah s.w.t adalah zikir juga namanya. Jadi, zikir adalah pekerjaan
sepanjang masa, setiap ketika, semua suasana, pada setiap sedutan dan hembusan
nafas dan pada setiap denyutan nadi. Kehidupan ini merupakan zikir daim (zikir
berkekalan) jika mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang Allah s.w.t.
Misalkan
seorang sedang melakukan zikir hati dan perkataan; menyebut dan mengingati
nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak di
hadapannya. Anak kecil itu memegang sebotol racun. Anak kecil mahu meminum
racun tersebut. Pada ketika itu ahli zikir tadi berkewajipan meninggalkan
pekerjaan zikir yang sedang dilakukannya dan berpindah kepada zikir
menyelamatkan anak kecil yang mahu meminum racun itu. Perpindahan perbuatan
tidak memutuskan zikir atau ingatannya kepada Allah s.w.t. Dia menyebut nama
Tuhan kerana ingat kepada Tuhan. Dia menyelamatkan anak kecil itu kerana
mentaati perintah Tuhan. Tuhan yang mentakdirkan anak kecil itu mahu meminum
racun di hadapannya. Tuhan juga mengadakan syariat yang mewajibkan membuang
kemudaratan. Taat kepada perintah Tuhan dan reda dengan takdir Tuhan yang
datang serta bertindak menurut peraturan syariat Tuhan merupakan zikir yang
sangat mulia pada sisi Tuhan. Zikir yang begini termasuk di dalam golongan
zikir yang berkekalan atau zikir daim.
Zikir
daim sukar diperolehi. Kebanyakan manusia melakukan pekerjaan yang baik-baik
yang seharusnya menjadi zikir tetapi dilakukan tanpa ingatan kepada Allah s.w.t
dan bukan dengan penghayatan mematuhi syariat-Nya. Kekuatan dalaman perlu
ditambah bagi memperolehi zikir daim. Bagi tujuan tersebut perlulah dilakukan
zikir sebutan iaitu zikir nafi-isbat (ucapan kalimah “La ilaha illa Llah ”) dan
zikir nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Zikir yang seperti ini memberi kesan
kepada menguatkan rasa kecintaan dan ingatan kepada Allah s.w.t. Ia membuka
kesedaran-kesedaran dalaman seperti yang telah dinyatakan pada tajuk yang
membicarakan perjalanan Latifah Rabbaniah. Kekuatan kesedaran dalaman mendorong
seseorang melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah s.w.t yang dicintainya,
yang hampir dengannya. Zikir nafi-isbat dan sebutan nama-nama serta
sifat-sifat-Nya menjadi jalan kepada zikir dalam bentuk mentaati peraturan-Nya
tanpa lupa kepada-Nya. Jadi, perlu dilakukan zikir secara sebutan untuk
memudahkan zikir secara amalan atau perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan
terhasillah zikir yang berkekalan.
Zikir
atau mengingati Allah s.w.t haruslah dilakukan menurut kadar kemampuan
masing-masing. Zikir yang paling baik diucapkan adalah seperti yang diajarkan
oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Ucapan zikir
yang paling baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan
kalimah ‘La ilaha illa Llah ’ .”
Orang
yang tidak pernah berzikir adalah orang yang sangat keras hatinya dan kuat
dikuasai oleh syaitan, hawa nafsu dan dunia. Cahaya api syaitan, fatamorgana
dunia dan karat hawa nafsu membaluti hatinya sehingga tidak ada ingatannya
kepada Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat
Tuhan tidak diterima oleh hatinya. Beginilah keadaan orang Islam yang
dijajah oleh sifat munafik. Orang yang masih mempunyai kesedaran perlu
memaksakan dirinya untuk berzikir, sekalipun hanya berzikir dengan lidah
sedangkan hatinya masih lalai dengan berbagai-bagai ingatan yang selain Allah
s.w.t. Pada tahap pemaksaan diri ini, lidah menyebut Nama Allah s.w.t tetapi
hati dan ingatan mungkin tertuju kepada pekerjaan, harta, perempuan, hiburan
dan lain-lain. Beginilah tahap orang Islam biasa. Orang yang berada pada tahap
ini perlu meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir dia kan lebih
mudah dihanyutkan di dalam kelalaian. Tanpa ucapan zikir syaitan akan lebih
mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan
lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai juru ingat.
Sebutan lidah menjadi sahabat yang memperingatkan hati yang lalai. Berlakulah
pertembungan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang menutupi hati.
Tenaga syaitan akan mencuba untuk menghalang tenaga zikir daripada memasuki
hati. Tindakan syaitan itu membuatkan orang yang ingin berzikir itu menjadi
malas dan mengantuk. Oleh yang demikian perlulah dilakukan mujahadah, memerangi
syaitan yang menghalang lidah daripada berzikir itu. Zikir yang dilakukan
dengan bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi benteng yang didirikan oleh
syaitan. Tenaga zikir yang berjaya memasuki hati akan bertindak sebagai
pencuci, menyucikan karat-karat yang ada pada dinding hati. Pada peringkat
permulaannya zikir masuk ke dalam hati sebagai Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan
yang diucapkan. Apabila karat pada dinding hati sudah berkurangan ucapan zikir
akan disertai oleh rasa kelazatan. Hati yang sudah merasai nikmat zikir itu
tidak perlu kepada paksaan lagi. Lidah tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah
hidup dalam hati secara diam, jelira dan melazatkan. Perhatian bukan sekadar
kepada nama-nama dan sifat-sifat yang diingatkan malah ia lebih tertuju kepada
Yang Empunya nama dan sifat. Inilah kedudukan orang yang beriman.
Zikir
yang lebih mendalam membawa hati berhadap kepada Hadrat Tuhan, menyaksikan
Tuhan pada setiap masa dan suasana. Apa sahaja yang dilihat dan dibuat
memperingatkannya kepada Tuhan. Inilah peringkat zikir daim yang dikurniakan
kepada mereka yang beriman dan bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah
s.w.t. Kehidupan mereka dipenuhi oleh zikir sepanjang masa. Tidur mereka juga
menjadi zikir.
Zikir
yang diucapkan dengan perkataan membantu hati mengingati Tuhan. Bagi sebahagian manusia berzikir secara kuat lebih memberi
kesan daripada berzikir secara perlahan, terutamanya bagi mereka yang baharu
memulakan amalan zikir. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan
perasaan. Hati menghayati apa yang dizikirkan dan terbentuklah alunan perasaan
sesuai dengan apa yang dihayati. Pada tahap yang lebih mendalam zikir bukan
lagi sebutan atau ingatan kepada Nama, tetapi hati menyaksikan Keperkasaan dan
Keelokan Tuhan. Bila hati sudah boleh menyaksikan Keelokan dan Keperkasaan
Tuhan, itu tandanya seseorang itu sudah ada hubungan semula dengan roh suci
yang mengenal Tuhan. Pancaran cahaya makrifat daripada roh suci membuat hati
dapat melihat kenyataan sifat-sifat Tuhan.
Pada
tahap kesedaran yang lebih mendalam, ucapan serta ingatan dan perhatian yang
berhubung dengan Tuhan menimbulkan keghairahan atau zauk. Zauk itu terjadi
kerana kuatnya tarikan Hadrat Tuhan kepada hati. Ingatan dan penyaksian
terhadap Hadrat Tuhan akan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Hati
yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Perkasa boleh menyebabkan seseorang itu
menjadi pengsan kerana takutnya hati kepada keperkasaan Allah s.w.t. Hati yang
menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Lemah-lembut akan mengalami rasa kenikmatan
dan kebahagiaan yang amat sangat.
Pada
tahap kesedaran yang lebih mendalam, hati diperkuatkan lagi supaya mampu
menerima ‘sentuhan’ Hadrat Tuhan itu. Penyaksian terhadap Hadrat Tuhan tidak
lagi melahirkan keghairahan atau zauk atau kegoncangan kepada hati. Hati
mengalami suasana Hadrat Tuhan dalam keadaan damai dan sejahtera. Pada tahap
ini hati akan mengenali Tuhan sebagai Raja Yang Maha Berkuasa. Berada pada sisi
Raja tersebut membuat hati merasakan kesejahteraan dan keselamatan yang tidak
terhingga, hilang rasa takut dan dukacita.
Pada
tahap kesedaran yang paling dalam hati berhadap kepada Hadrat Tuhan yang
bernama Allah s.w.t, yang menguasai semua Hadrat, yang melampaui segala nama
dan sifat, segala kenyataan dan ibarat. Hati sampai kepada tahap jahil setelah
berpengetahuan. Ilmu gagal menghuraikan tentang Allah s.w.t. makrifat gagal
memperkenalkan Allah s.w.t. Apa sahaja yang terbentuk, tergambar, terfikir,
yang disaksikan dengan mata luar dan juga mata dalam dan segala-galanya
tersungkur di hadapan Hadrat Allah s.w.t, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha
Perkasa. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang menyamai Allah s.w.t, Dia Maha
Esa. Hati yang berhadapan dengan Hadrat Allah s.w.t benar-benar mengalami dan
mengenali maksud keesaan Allah s.w.t. Hati pun tunduk, menyerah sepenuhnya
kepada Allah s.w.t, Tuhan Maha Mencipta. Baharulah sempurna penyerahannya,
baharulah lengkap perjalanan Islamnya.
Setelah
itu rohnya menjadi seakan-akan roh yang baharu, seumpama baharu lahir. Roh yang
baharu itu adalah Roh Islam yang telah mengenal Allah s.w.t yang melampaui
segala sesuatu tetapi memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya,
menyata kepada Roh Islam, iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada semua
roh-roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki. Pada roh
tersebut bercantum tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak kenal, nafi
dengan isbat. Roh Islam itulah yang benar-benar mengerti maksud nafi dan isbat
pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Lallah”.
Dia
turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada
hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 :
Surah al-Mu’min
Roh
Islam yang mengenderai hati Islam dan memiliki nafsu Islam, akal Islam dan
pancaindera Islam kembali kepada kehidupan dunia untuk mengajak dan membimbing
orang lain kepada Yang Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam mengeluarkan yang Islam
sahaja. Jiwanya Islam, perkataannya Islam, perbuatannya Islam, diamnya Islam,
tidurnya Islam dan segala-gala yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang
paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w merupakan contoh
tauladan Islam yang paling sempurna, paling baik.
Zikir
memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Roh Islam. Bagi orang yang
inginkan kebenaran dan melihat kebenaran, menjadi kewajipan baginya mengingati
Allah s.w.t sebanyak mungkin.
Lantas apabila kamu telah selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu, maka hendaklah kamu ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil duduk, dan sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi apabila kamu telah tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu kewajipan yang ditentukan mwaktunya. ( Ayat 103 : Surah an-Nisaa’ )
Lantas apabila kamu telah selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu, maka hendaklah kamu ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil duduk, dan sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi apabila kamu telah tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu kewajipan yang ditentukan mwaktunya. ( Ayat 103 : Surah an-Nisaa’ )
Yang
mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring, dan
memikirkan tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai
Tuhan kami! Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau.
Lantaran itu peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. ( Ayat 191 : Surah
a-Li ‘Imran )
Setiap
Muslim seharusnya mencari kehidupan berzikir; berzikir sambil duduk dan sambil
berbaring; bekerja di dalam berzikir; berehat di dalam berzikir dan tidur di
dalam berzikir. Lidah berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati berzikir.
Tentera Islam yang sedang berperang dengan musuh pun dituntut berzikir, apa
lagi kaum Muslimin yang berada dalam suasana aman. Muslim sejati sentiasa
berzikir, mengingati dan mentaati Allah s.w.t.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar